Maafkan aku yang jahil ini

Asslamualaikum warahmatullah dan salam jumaat.

Hari ini penulis terdetik untuk berkongsi mengenai kisah penulis tinggal bersama roomate yang ‘special’ sikit bagi penulis.

Sejak dari sekolah sehingga alam universiti, alhamdulillah Allah izinkan aku sentiasa mendapat teman sebilik yang baik-baik dan menjaga solat. Pernah juga sekali, aku mendapat teman sebilik berbangsa India tetapi aku dapat pindah bilik.

Jika tinggal di asrama, perkara yang paling merisaukan aku adalah teman sebilik. Sangat risau jika dapat teman sebilik yang tak sekepala.

Apabila masuk alam pekerjaan, Allah telah uji aku dapat teman sebilik yang tidak solat. Muda daripadaku. Tidak bertudung, rambut warna oren dan selalu keluar malam. Pakaian tak perlu la aku sebut bagaimana, pasti kalian telah boleh agak. Orangnya sangat cantik, baik dan sangat sopan santun. Cuma, dia hanya tersasar sedikit. Dia sangat menghormatiku sebagai kakak dan teman sebiliknya.

Inilah ujian Allah padaku, iaitu berdakwah padanya. Dia hanya akan menginap selama sebulan sementara cuti semester. Jadi, aku hanya ada masa selama sebulan sahaja untuk berdakwah kepadanya. Setiap hari aku berfikir bagaimana aku harus mulakan. Aku betul-betul tiada keberanian untuk bertanya atau mengajaknya untuk solat bersama kerana sebelum ini, aku pernah menegur teman sebilikku tentang solat. Tetapi selepas aku bertanya dan mengajaknya solat bersama, dia terus tukar bilik. Aku jadi sedikit takut.

Hari berganti hari. Minggu berganti minggu. Masa semakin suntuk. Ini peluang yang aku harus gunakan untuk berdakwah kepadanya. Inilah masanya aku harus gunakan segala ilmu dakwah yang aku pernah belajar ketika di universiti dahulu.

Tetapi aku masih belum bertemu dengan keberanian itu. Setiap hari aku berfikir bagaimana aku harus mulakan. Doaku tak pernah putus untuknya.

Suatu hari, pada hari minggu, dalam jam 7 pagi, aku tertidur. Tiba-tiba jam 8.15 aku tersedar. Aku melihat katil di sebelahku, dia telah tiada. Barang-barangnya juga. Saat itu hanya Allah sahaja yang tahu perasaanku. Aku terus menangis. Aku rasa sangat menyesal dan sangat-sangat tak berguna kerana tidak pernah berdakwah kepadanya.

Pimpinlah aku ke syurga

Aku bingkas bangun, membuka almari, mengharapkan dia masih ada, tapi sangkaanku meleset. Aku terduduk. Dia sememangnya telah keluar. Cepatnya masa berlalu. Allahurabbi. Aku rasa sangat berdosa ketika itu.

Aku membuka pintu bilik dengan harapan dia masih di ruang tamu. Saat aku membuka pintu bilik, aku melihat ada sosok tubuh manusia. Ya! dia masih ada. Aku menjerit kegembiraan. Tapi hanya seketika kerana ku tahu dia sememangnya akan tetap pergi. Sudah terlambat bagiku. Aku bertanya kepadanya kenapa dah hendak keluar. Dia memberitahu, telah cukup sebulan dia menyewa. Dia pun dah nak masuk kolej kembali.

Allahuakbar! cepatnya masa berlalu. Sehingga aku sendiri tidak sedar, rupa-rupanya telah sebulan aku tinggal bersamanya tetapi aku langsung tidak berbuat apa-apa. Aku sia-siakan detik waktu yang ada.

Aku teringat sebuah buku yang  aku ada beli beberapa bulan yang lepas. Sebuah novel islamik iaitu ‘Semusim di Barzakh’.

Aku menghadiahkan kepadanya sebelum dia pulang. Aku tidak sempat berkata-kata selain ucapan minta maaf sahaja yang terungkap. Maafkanku dik. Aku langsung tidak bertanyakan kepadamu tentang solat, pakaianmu, tudungmu. Maafkanku dik. Semoga setelah dirimu membaca buku ini, kamu akan menemui sesuatu. Sesuatu yang indah. Hanya ini sahaja yang mampu aku lalukan untuk beberapa detik masa yang ada. Semoga hidayah setiasa menjadi milikmu dik.

Beberapa hari kemudian, aku terdetik untuk mesej dia. Aku berterus terang dan jujur dengannya. Aku minta maaf sungguh-sungguh dengannya. Kalian tahu apa jawapanya.. Dia menjawab.

Maafkan saya akak. Sebenarnya, saya sangat malu dengan akak..

Saat itu, air mataku berderai. Allahurabbi. Mungkin saat itu, dia juga mengharapkan aku untuk mengajaknya solat bersama. Tapi aku tidak berbuat demikian. Kejadian ini benar-benar memberikan pengajaran buatku. Setiap kali ada orang datang ingin melihat bilik untuk di sewa, aku pasti berdebar dan takut kerana setiap teman sebilik itu adalah ujian buat kita juga.

Allah hadirkan seseorang dalam hidup kita pasti bersebab. Tiada yang sia-sia. Mohon sangat doa daripada kalian. Doakanlah semoga Allah memberikan hidayah kepadanya serta kepada kita semua juga. Amin.

Kita semua adalah khalifah Allah dan daie. Kita semua dipertanggungjawabkan melakukan dakwah. Sebab itu lah ada hadis menyebut  “Sampaikanlah dariku walau hanya satu ayat” (HR. Bukhari). Di akhirat kelak, kita akan dipersoalkan tentang apa yang telah kita lakukan.

Sebab itulah aku sangat risau bila berhadapan dengan mereka yang sedikit tersasar dari jalan Allah. Ini bukanlah soal tentang ‘menjaga tepi kain orang lain’. Tetapi ini adalah soal apa yang kita lakukan untuk agama Allah.

Semoga kita semua akan terus di berikan kekuatan untuk terus melakukan dakwah dan menyebarkan kebaikan kepada orang lain. Amin

Maafkan ku

Moga terus bermanfaat ♡

4 Comments

  1. Azlan Nizam January 7, 2017
    • AlMiyaz January 7, 2017
  2. rika January 11, 2017
    • AlMiyaz January 11, 2017

Leave a Reply

CommentLuv badge