Ku Mengharapkan Ramadhan Kali Ini Penuh Makna

Assalamualaikum warahmatullah.

Marhaban ya Ramadhan.  Selamat Menyambut Ramadhan Al Mubarak.

Agak lama juga diri ini menyepi daripada menulis di blog ini. Hati memberontak ingin menulis tetapi masa tak mengizinkan untuk jari jemari ini menaip di keyboard.

Masa semakin pantas berlalu. Sehingga kita sendiri tidak sedar kita telah masuk ke pertengahan tahun 2017.

Dalam beberapa bulan ini juga, banyak perkara telah berlaku dalam hidupku. Keluargaku menerima ujian yang bagiku agak berat.

Tapi kami tetap kena kuat untuk menerima ujian itu. Aku mengharapkan ramadhan pada kali akan lebih bermakna buat diriku sekeluarga.

Tika kita merasakan ujian yang kita tanggung telah berat, pandanglah ke bawah dan lihatlah mereka yang lebih susah. Kita akan menjadi lebih kuat dan bersyukur.

Marhaban Ya Ramadhan

Pernah suatu hari, seorang sahabat telah whatsapp aku di tengah malam. Setelah lama tidak bertanya khabar, dia menghantar whatsapp dan bertanya khabar ku.

Hatiku mengatakan dia sedang menanggung beban yang berat. Aku bertanya kepadanya dan sedia mendengar apa sahaja yang ingin di kongsi.

Dia memulakan kisahnya,

Mak dan ayah ku telah bercerai. Aku buntu apa yang perlu aku buat. Aku tak sanggup melihat ibuku menangis selalu. Ibu sudah tak ceria seperti dahulu lagi. Aku ingin keluargaku bersatu kembali. Kenapa Allah terus uji keluargaku begini?

Aku terdiam seketika.

Aku menjawab,

Wahai sahabatku, Allah telah berfirman dan berjanji, “Allah tidak akan membebani seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya..(Al-Baqarah, 286)

Allah juga telah berfirman Wahai orang-orang yang beriman, mohonlah pertolongan dengan sabar dan solat. Sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar. (Al-Baqarah 2:153) 

Aku tidak mampu berkata lebih kepadamu kerana aku tidak merasai apa yang dirimu rasa. Tetapi aku ingin dirimu yakin dengan janji Allah. Aku ingin dirimu yakin Allah selalu ada dengan mu. Aku ingin dirimu sedar bahawa pasti ada rahmat Allah yang indah akan datang kepadamu sekeluarga. Yakinlah!

Setiap orang tidak akan terlepas daripada di uji olehNYA. Apa yang membezakan kita adalah bagaimana kita respon terhadap ujian itu.

Ingatlah, jika kita punya masalah, carilah Allah terlebih dahulu, kerana hanya Allah yang Maha Mengetahui segala isi hatimu. Bukan manusia.

Ceritalah kepada seribu manusia sekalipun, belum tentu manusia akan memahami dirimu dan akan meletakkan rasa empati kepadamu kerana, manusia ini sangat terbatas.

Mereka mungkin boleh mendengar tetapi mereka tidak akan memahami sepenuhnya apa yang dirimu rasa selagi mana dia sendiri tidak merasai perkara itu.

Allah ada. Mengadulah sungguh-sungguh kepadaNYA. Selepas itu, jika perlu minta pandangan dan pendapat daripada manusia, baru cari manusia tetapi letakkan Allah sebagai kebergantungan yang utama dan sepenuhnya.

Marhaban Ya Ramadhan

Semoga ramadhan pada kali ini akan lebih bermakna buat kita semua. Jangan biarkan ia berlalu begitu sahaja kerana belum tentu kita akan dapat bertemu dengan ramdhan lagi pada tahun hadapan. Peluang yang ada ini, gunakan sebaik mungkin untuk berebut pahala dan kebaikan.

Muhasabah diri bersama.

Semoga terus bermanfaat ♡

 

 

12 Comments

  1. nikkhazami May 23, 2017
    • AlMiyaz May 24, 2017
  2. Ikhwan May 23, 2017
    • AlMiyaz May 24, 2017
  3. Suri May 24, 2017
    • AlMiyaz May 24, 2017
    • RAIHANAH AHMAD May 24, 2017
      • AlMiyaz May 25, 2017
  4. Anuar May 24, 2017
    • AlMiyaz May 25, 2017
  5. Ananda May 24, 2017
    • AlMiyaz May 25, 2017

Leave a Reply

CommentLuv badge