5 Cara Mudah Latih Diri Solat Awal Waktu.

Assalamualaikum warahmatullah dan salam bahagia.

Setiap hari adalah permulaan hari yang baru. Teruskan berjuang menuju ke jalan Illahi. Semoga kita semua tergolong dalam kalangan mereka yang sentiasa dirahmatiNYA.

Hari ini, penulis ingin berkongsi tentang bagaimana cara untuk mudah latih diri solat di awal waktu. Penulis akan berkongsi melalui pengalaman penulis sendiri.

Tak semua orang mampu untuk solat di awal waktu dengan istiqamah termasuklah diri penulis sendiri. Apatah lagi dengan masa yang semakin cepat berlalu setiap hari dan dunia yang semakin sibuk dengan pelbagai perkara.

Masa setiap hari semakin terhad. Jika ada kerja bertimbun yang perlu disiapkan, kita akan mengejar dateline kerja itu sehingga solat menjadi perkara yang terkemudian.

Dulu, penulis sendiri salah seorang yang selalu solat di hujung-hujung waktu. Alasannya, senang nak solat terus untuk next solat, banyak kerja dan sebagainya. Contohnya jika zohor, nak tunggu solat asar terus.

Suatu hari, penulis bertemu dan bersahabat dengan seorang insan yang sangat menjaga solatnya. Sahabat ini sentiasa solat di awal waktu. Apabila nak dekat waktu solat, sahabat ini sentiasa bersiap sedia di tikar sejadahnya.

Dia juga selalu ajak penulis untuk solat bersamanya. Dia juga selalu nasihati penulis untuk solat di awal waktu. Antara pesanannya ialah,

  1. Cara nak mula solat awal waktu ini, kita sendiri kena mulakannya. Kita latih diri kita. Mula-mula memang payah dan susah. Syaitan akan selalu menjalankan kerjanya dengan berbisik supaya kita terus lalai daripada solat di awal waktu. Lawan kata hati yang tak baik itu. Sentiasa ingat Allah.
  2. Jika awak ingin Allah jaga awak dan urusan dalam hidup awak, awak jagalah Allah dulu. Salah satunya ialah dengan solat di awal waktu. Percayalah! urusan akan menjadi lebih mudah dan lancar.

    Dari sahabat Umar beliau berkata : Seorang laki-laki mendatangi Rasulullah SAW dan bertanya ” Sesuatu apakah yang lebih dicintai Allah di dalam Islam?”. Maka Rasulullah SAW menjawab “Yaitu melaksanakan solat pada waktunya, barangsiapa meninggalkan solat maka sama dengan tidak beragama, Solat adalah tiang agama” (Diriwayatkan oleh Imam Baihaqi)

  3. Banyakkan dengar ceramah-ceramah tentang kelebihan solat. Bagi permulaan, dengar lah ceramah dari ustaz/ustazah yang anda suka. Contohnya, Ustazah Hafizah Musa, Ustaz Ebit Lew dan ramai lagi. Cuba dengar dahulu. Latih diri.

Solat awal waktu4. Carilah sahabat yang mendekatkan kita dengan Allah. Sahabat yang apabila kita bersamanya, dia sentiasa akan mengingatkan kita tentang akhirat dan Allah. Macam mana nak cari sahabat yang baik ini? Salah satu tempatnya adalah di masjid. Mereka yang selalu berada di masjid, solat di berjemaah di masjid adalah salah satu ciri sahabat yang baik kerana jiwa mereka sentiasa ingin dekat dengan Allah.

Solat di awal waktu

5. Selalu ke majlis ilmu. Apabila kita selalu dekat dengan majlis-majlis ilmu agama, hati kita juga ingin semakin dekat Allah. Hati yang kotor juga boleh di bersihkan dengan hadir ke majlis-majlis ilmu agama. Bila kita berada dalam majlis ilmu ini, kita juga akan berada dalam kalangan mereka yang mencintai Allah.

Pada permulaan, memang akan sukar, tetapi sentiasa latih diri sendiri. Jika gagal, latih lagi, gagal lagi, latih lagi sehingga berjaya dan mampu istiqamah. Bila kita sudah berjaya istiqamah, jika ada suatu ketika, kita solat sedikit lewat, kita akan rasa tak senang duduk dan gelisah. Kita mesti kena solat awal waktu juga.

Jika anda dah mula rasa begitu, itu tanda anda telah berjaya latih diri anda. Cubalah buat. Nikmatnya sangat indah seperti tidak dapat di gambarkan dengan kata-kata. Ini lah kelebihan yang Allah berikan pada mereka yang solat di awal waktu.

Semoga terus berjaya istiqamah solat di awal waktu. Sama-sama kita latih diri kita dan terus berdoa kepadaNYA.

Moga terus bermanfaat ♡

Leave a Reply

CommentLuv badge